| INSTITUTE FOR MATHEMATICAL RESEARCH

PERTANDINGAN OLIMPIAD MATEMATIK UNIVERSITI MALAYSIA 2022 (OMUM 2022)

Serdang – Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Management Sciences/ Operations Research Society of Malaysia (MSORSM), Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) dan Akademi Ilmuan Sains Matematik Malaysia (AISMM) telah menganjurkan pertandingan Olimpiad Matematik Universiti Malaysia 2022 (OMUM 2022) yang melibatkan pelajar pra-siswazah dari universiti awam dan swasta di Malaysia.

Olimpiad Matematik Antarabangsa atau International Mathematical Olympiad (IMO) merupakan salah satu pertandingan penyelesaian masalah matematik aras tinggi yang berprestij di peringkat dunia. Malaysia telah mengambil bahagian dalam IMO sejak 1995. Walau bagaimanapun, pertandingan IMO ini adalah pertandingan di peringkat sekolah menengah dan tidak melibatkan pelajar di peringkat universiti. Kemudian, INSPEM telah mengorak langkah untuk menganjurkan pertandingan matematik aras tinggi pada 2016 iaitu Pertandingan Olimpiad Universiti Awam 2016 (OMUA2016). Walau bagaimapun, sasaran OMUA2016 hanya dikalangan institusi pengajian tinggi awam Malaysia (IPTA). Susulan daripada penglibatan Malaysia dalam IMO dan sambutan hangat OMUA2016, OMUM2022 telah dianjurkan oleh ahli jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada penyelidik dan staff INSPEM itu sendiri.

Penganjuran OMUM 2022 ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan awal dan rangsangan kepada pelajar pra-siswazah dari Universiti Awam dan Universiti Swasta untuk menyertai pertandingan Matematik di peringkat kebangsaan. Selain itu, persaingan yang sihat di antara Universiti Awam dan Universiti Swasta di Malaysia dapat diwujudkan dan hubungan yang baik antara universiti dan ahli akademik dapat dibina untuk mengenalpasti serta mengembangkan potensi dan bakat pelajar untuk menjadi ahli matematik dan saintis.

Pertandingan OMUM2022 ini telah berlangsung pada 24 September 2022 untuk pusingan kelayakan dan OMUM2022 telah menerima penyertaan sebanyak 172 penyertaan dari 18 universiti awam dan swasta seluruh Malaysia. Seramai 39 orang peserta yang mewakili 11 buat universiti telah melepasi pusingan kelayakan dan telah mara ke pusingan akhir pada 3 Disember 2022.

Yang Berbahagia Prof. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM telah merasmikan Pusingan Akhir yang telah diadakan pada 3 Disember 2022 di Bilik Seminar Al-Farabi, INSPEM. Manakala, Majlis Penyampaian Hadiah OMUM2022 telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah, Pengerusi Jemaah Pengetua UPM. Terdapat dua (2) kategori yang dipertandingkan iaitu individu dan berkumpulan. Terdapat tiga (3) pemenang bagi setiap kategori iaitu johan, naib johan dan tempat ketiga di mana pemenang kategori individu dan berkumpulan iaitu wakil universiti akan memperoleh sijil kepujian beserta hadiah wang tunai dan piala.

Majlis Penyampaian Hadiah OMUM 2022 telah diadakan pada 17 Disember 2022 di Dewan Taklimat Serdang, Universiti Putra Malaysia. Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah telah sudi untuk merasmikan dan menyampaikan hadiah di majlis tersebut. “Sokongan yang diberikan oleh Universiti Putra Malaysia terhadap penganjuran Olimpiad Matematik Universiti Malaysia 2022 (OMUM 2022) adalah merupakan langkah awal untuk sama-sama berganding bahu dengan Universiti Awam dan Swasta di Malaysia untuk membantu melaksanakan program-program bagi meningkatkan pencapaian dan kualiti ilmu Matematik di negara kita,” katanya dalam ucapan Majlis Penyampaian Hadiah OMUM2022. Pengarah INSPEM, YBhg. Prof. Dr. Muhammad Rezal Dato’ Kamel Ariffin dalam ucapan alu aluan beliau berkata OMUM 2022 yang berlangsung pada tahun ini, akan menjadi kayu pengukur dalam melihat dan menilai pencapaian pelajar pra-siswazah khususnya, dan kejayaan para pendidik dan penyelidik secara amnya.

Turut hadir adalah YBhg. Prof. Dr. Lee Lai Soon, Naib Presiden MSORSM dan Dr. Mohd Almie Alias merangkap wakil PERSAMA. Dalam majlis ini, pihak penganjur telah menganugerahkan sijil kepujian kepada 10 peserta terbaik (kategori individu) di atas pencapaian yang memberangsangkan dalam peperiksaan akhir OMUM2022. Adalah diharapkan semoga pencapaian ini memberi dorongan kepada para peserta dan universiti yang terlibat untuk lebih cemerlang di masa hadapan. Hadiah pemenang adalah sumbangan dari Management Sciences/ Operations Research Society of Malaysia (MSORSM), Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA), Akademi Ilmuan Sains Matematik Malaysia (AISMM), Operasi Jitu Sdn Bhd, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd, Thava Proofreading and Editing Services, dan Izanyang Enterprise.

 

Berikut adalah senarai pemenang Pertandingan OMUM 2022

 

Kategori Individu:

Johan (Hadiah: Wang Tunai RM800+Piala dan Sijil)

Tan Hong Sheng (Xiamen University Malaysia)

Naib Johan (Hadiah: Wang Tunai RM600+Piala dan Sijil)

Tee Yee Kai (Universiti Tunku Abdul Rahman)

Tempat Ke 3 (Hadiah: Wang Tunai RM400+Piala dan Sijil)

Peter Chai Chee Kiong  (Universiti Teknologi Malaysia)

 

Kategori Berkumpulan:

Johan (Hadiah: Wang Tunai RM1,000+Piala dan Sijil)

Universiti Tunku Abdul Rahman

Naib Johan (Hadiah: Wang Tunai RM700+Piala dan Sijil)

Universiti Teknologi Malaysia

Tempat Ke 3 (Hadiah: Wang Tunai RM500+Piala dan Sijil)

Universiti Teknologi Malaysia

 

Tahniah kepada para pemenang Pertandingan OMUM2022. Sila layari laman sesawang untuk maklumat lanjut: http://einspem.upm.edu.my/omum2022/

 

Majlis Perasmian Pertandingan Akhir OMUM2022 pada 24 September 2022

 

Sesi bergambar selepas Majlis Penyampaian Hadiah OMUM2022

 

10 peserta terbaik OMUM2022

 

Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) JUARA OMUM 2022 bagi kategori berkumpulan

 

Universiti Teknologi Malaysia merangkul Naib Johan dan Tempat Ketiga bagi Kategori Berkumpulan OMUM2022

 

Peserta dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

 

Tan Hong Sheng dari Xiamen University Malaysia, JOHAN keseluruhan pertandingan OMUM2022 (Kategori Individu)

 

Para pemenang bergambar bersama sijil kepujian dan piala kemenangan masing-masing.

SXDdRAi~