| INSTITUT PENYELIDIKAN MATEMATIK

Kerajaan lancar strategi keselamatan siber negara bernilai RM1.8 bilion

KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024 dengan peruntukan RM1.8 bilion bagi meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan siber negara.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) diberi tanggungjawab menggubal, melaksana, memantau dan menyelaras pelan tindakan jangka sederhana itu.

Perdana menteri berkata, strategi itu dirangka bersandarkan 5 tonggak utama yang merangkumi 12 strategi, 35 pelan tindakan dan 113 program sebagai teras mekanisme keselamatan siber dalam berdepan apa jua bentuk serangan siber.

“Tonggak pertama, mempertingkatkan pengurusan tadbir urus dan keselamatan siber negara dengan menambah baik infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kritikal negara selain meningkat keupayaan menangani isu keselamatan siber secara efektif.

 
 

“Dalam hal ini, Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara ditubuhkan dan saya melantik Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob sebagai pengerusi menerajui jawatankuasa ini, ” katanya dalam ucapan perasmian MCSS 2020-2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Ucapan perdana menteri dibacakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKMM Suriani Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik) Majlis Keselamatan Negara Khairul Shahril Idrus.

Perdana menteri berkata, tonggak ke-2 adalah memperkukuhkan penguatkuasaan jenayah siber dan perundangan sedia ada dengan meneliti semula undang-undang berkaitan serta mengubal undang-undang khusus mengenai keselamatan siber.

 

Beliau berkata tonggak ke-3 pula pemerkasaan inovasi dan teknologi bertaraf dunia dalam bidang keselamatan siber dan keempat, mempertingkatkan pembangunan kapasiti serta tenaga mahir bidang keselamatan siber.

“Tonggak ke-5, memperkukuhkan kerjasama antarabangsa, iaitu dengan mengiatkan kerjasama peringat serantau dan antarabangsa bagi melindungi ruang siber negara,” kata beliau.

Muhyiddin menegaskan soal keselamatan siber negara terus menjadi keutamaan dalam agenda pertahanan dan keselamatan negara.

 

SXETXA1~