| INSTITUT PENYELIDIKAN MATEMATIK

Tandatangan digital berkriptografi elak pemalsuan sijil vaksinasi Covid-19

Ringkasan Artikel

Tandatangan digital berkriptografi dijangka menjadi penyelesaian masalah pemalsuan sijil vaksinasi Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera sekali gus dapat mengesahkan sesuatu dokumen berbentuk digital.

PETALING JAYA: Tandatangan digital berkriptografi dijangka menjadi penyelesaian masalah pemalsuan sijil vaksinasi Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera sekali gus dapat mengesahkan sesuatu dokumen berbentuk digital. 

Pengarah Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Muhammad Rezal Kamel Ariffin berkata, sesuatu pembekal aplikasi digital tidak dapat menentukan kesahihan suatu transaksi maklumat digital tanpa penggunaan tandatangan digital berkriptografi. 

Justeru, katanya, bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikekang melalui penggunaan sijil vaksinasi Covid-19 aplikasi berkenaan, pentadbir aplikasi perlu melihat semula kerangka pembangunan aplikasi itu dari segi kepatuhannya terhadap Akta Tandatangan Digital 1997 (ATD1997). 

“Hanya dengan memasukkan mekanisme tanda tangan digital berkriptografi ke dalam aplikasi MySejahtera, pihak berkuasa yang memeriksa sijil vaksinasi Covid-19 boleh dengan yakinnya memberi laluan kepada mereka yang berhasrat untuk merentas negeri pada ketika ini.

“Tandatangan digital adalah tandatangan elektronik yang digunakan untuk mengesahkan identiti penghantar atau penandatangan sesuatu mesej dan digunakan bagi memastikan sesuatu maklumat adalah betul dan sah di dalam transaksi elektronik.

“Berbeza dengan pengetahuan umum yang menyamakan istilah tandatangan digital dengan imej digital tandatangan, tandatangan digital didasari teknologi kriptografi bermatematik yang dipasang pada aplikasi digital menggunakan bahasa pengaturcaraan pilihan pembekal aplikasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Rezal berkata, pembekal aplikasi boleh merujuk kepada Senarai Algoritma Kriptografi Terpercaya Negara (MySEAL) yang dibangunkan oleh CyberSecurity Malaysia (CSM) bersama pakar kriptografi negara antara tahun 2016-2020 semasa Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11). 

Untuk rekod, penguatkuasaan tanda tangan digital di Malaysia terletak di bawah ATD1997 yang mempunyai peruntukan untuk mengatur penggunaan tandatangan digital dan hal-hal yang berkaitan dengannya. Antara lain, tandatangan digital di negara ini dibekalkan melalui sijil digital oleh pihak berkuasa perakuan yang dimandat oleh ATD1997.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya menerima satu laporan wujud penjualan sijil vaksinasi selepas seorang pengguna Facebook memuatnaik artikel berkenaan hal tersebut. 

Kementerian Kesihatan pula mengenal pasti satu kes penjualan sijil vaksinasi dalam bentuk kad fizikal secara dalam talian di utara tanah air dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memalsukan sijil vaksin digital di aplikasi MySejahtera.

Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah mengatakan bahawa tidak akan ada sijil vaksinasi Covid-19 fizikal dan bukti vaksinasi Covid-19 hanya akan tersedia dalam dua bentuk, iaitu sijil digital di aplikasi MySejahtera dan kad vaksinasi yang diberikan di pusat vaksinasi (PPV).- UTUSAN ONLINE 

SXDdKAk~