Dari Meja Pengarah

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera,

Pertamanya, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pelayar yang sedang melayari laman web rasmi Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM. Selamat datang ke laman web kami.

Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM yang telah ditubuhkan pada 2002 diamanahkan untuk melaksanakan penyelidikan didalam skop Analisis Asas, Literasi dan Komputasi Bermatematik. Fungsi utama penubuhan INSPEM adalah untuk membangunkan kumpulan penyelidik bermatematik aras tinggi, menyediakan kemudahan penyelidikan bermatematik terkini, menjadi pusat rujukan penyelidikan bermatematik, menyebar luaskan maklumat penyelidikan bermatematik kepada sektor awam dan swasta, membangunkan kemudahan latihan untuk kegunaan penyelidik muda serta membentuk hubungan kerjasama dengan penyelidik dan institusi penyelidikan dalam dan luar negara.

Memasuki tahun ke-20 penubuhan INSPEM, institut telah berkembang dengan pantas dengan pelbagai penyelidikan bermatematik yang dilaksanakan. INSPEM telah memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan keterlihatan UPM dari konteks Kedudukan Mata Pelajaran QS – Matematik. Untuk tahun – tahun 2017, 2018, 2019 dan 2020 UPM berada pada kedudukan 201 – 250. Sehingga Disember 2021, INSPEM telah melahirkan 275 orang graduan (i.e. PhD-145 dan MSc-130) yang berasal dari pelbagai negara seluruh dunia. Alumni INSPEM terdiri dari pegawai tinggi di negara masing – masing serta menjadi pakar rujuk yang aktif menjalankan penyelidikan di seluruh dunia.

Sepanjang kewujudan INSPEM, berserta dengan kehadiran I.R 4.0, INSPEM telah melahirkan penyelidikan analitik konstruktif dalam kerangka bidang kriptologi, analitik data serta visualisasi dan instrumentasi kuantitatif. Penyelidik INSPEM telah melibatkan diri dalam keseluruhan spektrum Penyelidikan dan Pembangunan dan Pengkomersilan dan Inovasi (R&D&C&I); yang meliputi penyelidikan asas, integrasi sistem, menghasilkan prototaip, pengkomersilan, konsultasi industri dan merangka dasar nasional. Oleh itu, INSPEM telah meletakkan dirinya sebagai sebuah pusat penyelidikan yang utama. Yakni, INSPEM berhasrat untuk menjadi Pengerak Masyarakat Berbudaya Analitis Holistik melalui menghasilkan output yang berteraskan Asas Inovasi Dipandu Data dan Bermatematik

Sekiranya Penyelidikan dan Pembangunan hanya berkisar pada “aras fizikal” tanpa mengambil kira asas analitik konstruktif, ianya mungkin menghasilkan hasilan yang hanya berada pada aras “inovator yang merupakan pengguna aras tinggi”. Pembangunan 5G di Huawei merupakan bahan bukti kepada hal ini. Analitik konstruktif kod polar telah memastikan kejayaan pemakaian 5G. INSPEM juga mengambil maklum artikel pada 10 Julai 2020 dalam surat khabar Sinar Harian yang bertajuk “Matematik, AI perkasakan status China” yang menyatakan bahawa Krisis perbalahan dua kuasa besar iaitu China dan Amerika kini sebenarnya sudah memasuki fasa penguasaan dan kemampuan matematik terhadap aplikasi teknologi AI dalam bidang perindustrian, kewangan global, perdagangan, telekomunikasi, peperangan dan pengkomputeran.

Pada masa kini, INSPEM mempunyai 5 buah laboratori iaitu Laboratori Kriptografi, Analisis dan Struktur, Laboratori Statistik Komputasi dan Penyelidikan Operasi, Laboratori Sains Berkomputasi dan Fizik Bermatematik, Laboratori Etnomatematik dan Didaktik serta Laboratori Perkhidmatan Statistik dan Komputasi. Laboratori – laboratori ini bersinergi antara satu sama lain untuk menjayakan penyelidikan di UPM. Laboratori – laboratori ini diaudit secara tahunan untuk memastikan perkhidmatan berkualiti kepada para penyelidik yang berminat.

Adalah diharapkan agar semua usaha INSPEM, UPM yang dinyatakan di atas (dan pelbagai lagi) akan membawa Malaysia merealisasikan cabaran keenam Wawasan 2020, iaitu mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang inovatif dan berpandangan ke hadapan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada peradaban ilmiah dan teknologi masa depan.

Saya berharap anda mendapat manfaat dari laman web kami. Usaha mengemaskini laman web dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan maklumat yang relevan dapat dicapai oleh pelawat kami. Sekiranya ada sebarang pertanyaan, kami berbesar hati untuk membantu. Akhir kata, saya doakan semua yang melawat laman web kami kesihatan berterusan, peningkatan produktiviti dan memperolehi peluang – peluang yang terbaik dalam sebarang usaha di masa hadapan.

 

Prof. Dr. Muhammad Rezal bin Dato' Kamel Ariffin
Pengarah
Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM)
Universiti Putra Malaysia